Sunday 14 August 2011

TAJUK 3 : TAMBAHAN NOTA TEORI HURAIAN BAHASA

1)    Nahu tradisional
2)    Struktural
3)    Transformasi generatif
4)    Teori fungsional

PENGENALAN
      Dalam sejarah perkembangan ilmu linguistik teoritis terdapat banyak teori bahasa yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh linguistik.
      Teori-teori ini berbeza antara satu sama lain kerana dipengaruhi oleh aliran pemikiran yang terdapat pada zaman itu.
      Teori huraian bahasa menjelaskan bahawa unsur-unsur bahasa yang hendak diajarkan boleh dihuraikan melalui penyampaian pengajaran.
      Penerangan ini penting bagi menentukan bahan pengajaran dan prosedur mengajar kerana ia digunakan untuk menyampaikan tajuk atau isi pelajaran

NAHU TRADISIONAL
      Teori ini bermula sejak zaman Yunani (abad ke-5 S.M) dan dipercayai teori paling tua dicatatkan.
      Ia dipelopori oleh Panini (Ahli tokoh fonetik India) yang menganggap bahawa bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara.
      Secara keseluruhannya, ahli-ahli bahasa tradisional berpendapat bahawa struktur-struktur bahasa ialah hasil daripada sebab dan akibat dan bahasa di dunia ini ialah variasi-variasi daripada satu sistem yang berasaskan logik dan rasional yang sama.

CIRI-CIRI TEORI NAHU TRADISIONAL
      Kajian-kajian bahasa dibuat berasaskan bahasa tulisan.
      Selain itu, huraian tatabahasa bersifat rasional dan berasaskan anggapan bahawa disiplin-disiplin lain tiada kaitan dengan bahasa. Akibatnya huraian unsur-unsur bahasa tidak tetap dan tidak tepat.
      Panini turut berpendapat bahawa bahasa-bahasa di dunia dapat dihurai dengan berasaskan ciri-ciri sejagat  seperti logik, falsafah dan sebagainya.
       Kajian bahasa juga dibuat secara deduktif, iaitu  mengutamakan pemahaman peraturan-peraturan bahasa  terlebih dahulu sebelum  memberikan  contoh-contoh.
      Teori ini juga berpendapat semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani dan ciri nahunya mementingkan bahasa tulisan serta kajian berdasarkan hukum.

TEORI STRUKTURAL
      Aliran linguistik struktural ini muncul pada kurun ke-20.
      Ahli-ahli bahasa yang menganuti aliran ini terdiri daripada Ferdinand de Saussure, Leornand Bloomfield, Otto Jespherson, dan Edward Saphir.
      Difahamkan bahawa kemunculannya kerana pertentangan pendapat dengan aliran tradisional.
      Tentangan utamanya ialah dasar rasional yang digunakan oleh aliran tradisional untuk membentuk kategori-kategori tatabahasa dan anggapan bahawa semua bahasa mempunyai kategori universal.
      Fokus pengkajian mereka ialah aspek penghuraian struktur bahasa.
      Huraian bahasa dilakukan secara induktif.
      Mereka menganggap bahawa struktur bahasa merupakan kaitan antara fonem sebagai unit bunyi dengan fonem sebagai unit tatabahasa.
       Asas pengkajian ahli bahasa struktural ialah tiap-tiap bahasa terdiri daripada satu pertalian struktur yang tersendiri.
      Oleh itu, tugas utama mereka ialah mengkaji unsur-unsur bahasa sebagai sebahagian daripada satu keseluruhan sistem bukan sebagai unsur yang berasingan.
      Menumpukan kajian terhadap fonologi,morfologi dan sintaksis tetapi kurang menitikberatkan tentang makna.

CIRI-CIRI TEORI STRUKTURAL
      Bahasa ialah satu sistem bunyi
      Bahasa ialah alat perhubungan
      Bahasa bersifat arbitrari
      Bahasa ialah pertuturan

TEORI TRANSFORMASI GENERATIF
      Merupakan satu aliran baharu yang timbul selepas aliran struktural.
      Teori ini muncul dalam tahun 50-an yang dipelopori oleh Noam Chomsky.
      Teori ini wujud akibat daripada beberapa kekurangan dan kelemahan teori tradisional dan struktural.
      Generatif bermaksud menerbitkan, iaitu bermula daripada unsur-unsur yang terhad dan kemudian akan bertambah dan berkembang untuk menerbitkan unsur yang lebih besar melalui beberapa proses menurut rumus-rumus tertentu.
      Manakala transformasi pula bermaksud mengubah atau menukar, iaitu menuliskan semula.
      Dalam konteks ini bermakna menuliskan semula abentuk struktur ayat asas atau ayat yang asal kepada bentuk struktur yang lain tanpa mengubah atau menghilangkan makna asalnya.
      Kajian transformasi generatif dibuat berdasarkan kenyataan bahawa seseorang penutur ibunda sesuatu bahasa berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang belum pernah mereka dengar kerana mereka dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa.
      Kesimpulannya analisis transformasi generatif bertujuan untuk membentuk rumus sesuatu bahasa dengan lengkap berasaskan pengetahuan penutur ibunda bahasa tersebut.

CIRI-CIRI TEORI TRANSFORMASI GENERATIF
      Suatu urutan yang teratur daripada rumus-rumus.
      Bertujuan untuk hasilkan satu huraian bahasa yang dapat kemukakan asas bagi menerangkan bagaimana ayat-ayat boleh dihasilkan dan difahami.
      Menganalisis fonologi, morfologi, dan sintaksis yang menggunakan simbol-simbol dan rumus-rumus.
      Deskripsi sesuatu bahasa mesti mengambil kira kreativiti linguistik.
      Komponen sintaksis menerbitkan struktur sintaksis melalui dua peringkat.
      Pertama, melalui peraturan-peraturan struktur-struktur rangkai kata dan leksikon yang membentuk satu komponen sintaksis, menerbitkan struktur dalamannnya dalam bentuk yang boleh diterjemahkan maknanya.
      Kedua, peraturan transformasi, iaitu menukarkan struktur dasar yang abstrak kepada struktur luar yang konkrit setelah dipadankan dengan peraturan bunyi dan lahir sebagai satu ujaran.

TEORI FUNGSIONAL
Teori fungsional berkembang pada tahun 60-an dan 70-an.
Ahli bahasa terkenal yang menganut fahaman ini ialah Halliday.
      Ahli-ahli bahasa teori ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi strukturnya tetapi juga memberikan perhatian kepada fungsi bahasa.
      Menurut mereka fungsi bahasa dalam masyarakat sangat penting dan menegaskan bahasa sebagai alat komunikasi.
      Hal ini bermakna kajian bahasa bukan semata-mata tertumpu kepada struktur, iaitu bentuk-bentuk bahasa, tetapi juga terhadap perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuknya semasa seseorang itu berkomunikasi.

CIRI-CIRI BAHASA MENURUT TEORI FUNGSIONAL
      Bahasa mempunyai tiga fungsi utama
     Menyampaikan idea : Kita berfikir dan berkongsi pandangan  serta pendapat dengan orang lain (fungsi kognitif)
     Menyampaikan maklumat : Bahasa mempunyai keupayaan menyampaikan maklumat mengenai penutur.
     Berkomunikasi dan berinteraksi
      Sistem bahasa yang digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi  bukan merupakan satu sistem yang tertutup dan statik, tetapi terbuka dan dinamik.
      Sistem ini bukan sahaja berdasarkan kepada undang-undang tatabahasa semata-mata, tetapi juga berdasarkan peraturan-peraturan penggunaannya yang ditentukan oleh peraturan sosial sesuatu masyarakat itu.
      Asas elemen dalam struktur bahasa berdasarkan kepada kekuatan dan keteguhan wacana dan semantik dan bukannya sintaksis. Makna tidak sahaja didasarkan kepada struktur bahasa tetapi juga makna sosial yang mengambil kira ciri-ciri paralinguistik seperti bahasa badan dan bahasa isyarat yang digunakan oleh penutur semasa berkomunikasi.
      Penggunaaan dalam bahasa adalah lebih penting berbanding kegunaannya  seperti yang terdapat dalam peraturan-peraturan bahasa. Namun, struktur nahu tidak diketepikan langsung. Contohnya, ayat dibawah dianggap betul untuk digunakan dalam pertuturan seharian:
     A: Kami nak gi pasar, kamu nak ikut ?
     B : Tak, kami nak pergi ke padang, terima kasih.                
      Walaupun begitu, dalam bahasa tulisan atau penulisan, bahasa yang digunakan haruslah mengikut laras bahasa formal yang digunakan berasaskan kepada sesuatu situasi dan tujuan tertentu dalam masyarakat.
      Sifat bahasa dinamik dan statik menyebabkan terdapatnya variasi-variasi dalam penggunaan bahasa. Variasi ini timbul hasil daripada keadaan sosial sesuatu masyarakat.

BIBLIOGRAFI
Tuan Jah Tuan Yusof. (2001). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu, Multimedia Sdn
Bhd.Puchong, Selangor
.............. ( 2009 ). Teori Huraian Bahasa Tradisional
.............. (            ). Pedagogi Bahasa Melayu Pismp Bm
.............. (            ). Teori Pemerolehan Bahasa 1
.............. (            ). Teori Huraian Bahasa

No comments:

Post a Comment