Monday, 15 August 2011

PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SECARA KONSTRUKTIVISME, KONTEKSTUAL & MASTERI


1.PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SECARA KONSTRUKTIVISME

PENGENALAN

       Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia.
       Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada murid dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu membina sesuatu pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing.
       Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan di sekolah ialah satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan.
        Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri.
       Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka.
       Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina.
       Proses ini dinamakan konstruktivisme. Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
       Seorang guru perlu melaksanakan pengajaran supaya murid dapat membina atau membentuk idea baru dan bukan menerima idea tersebut dan murid menjana secara aktif makna daripada setiap satu pengalaman yang dilalui dalam proses pembelajaran. Murid perlu asimilasikan idea baru atau menyesuaikan (accommodate) idea yang sedia ada.


PRINSIP KONSTRUKTIVISME
       Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada.
       Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat.
       Murid cuba memperoleh pemahaman mengenai pengalaman baru & fenomena dengan cara membentuk atau membina makna mengenai perkara tersebut.
Dalam konstruktivisme, pembelajaran dilihat sebagai :
       Pengubahan idea,
       Pembinaan & penerimaan idea baru,
       Penstrukturan semula idea sedia ada

Pandangan konstruktivisme
       Murid membina atau membentuk idea baru dan bukan menerima idea tersebut dan murid menjana secara aktif makna daripada setiap satu pengalaman yang dilalui.
Amalan pengajaran konstruktivisme
       Penggunaan data mentah & sumber primer, berserta bahan manipulatif, interaktif & fizikal membolehkan murid-murid memperoleh peluang serta membina pengalaman & kemahiran dalam membentuk pengetahuan baru atau menstruktur semula konsep alternatif mereka.
       Tugasan pembelajaran yang melibatkan kemahiran kognitif seperti mengelas & meramal akan meningkatkan kemahiran berfikir peringkat tinggi, membantu murid membina konstruk sendiri sama ada melalui proses asimilasi konsep baru atau mahupun menyesuaikan konsep sedia ada.
       Pengetahuan sedia ada murid membantu mereka mengikuti pembelajaran seterusnya. Pembelajaran seterusnya direka bentuk bersesuaian dengan perkembangan konstruk murid supaya proses pembelajaran tersebut bermakna kepada mereka.
       Pengetahuan diperoleh secara kognitif & interaksi dengan individu dan alam sekeliling.

       Pengetahuan diperoleh daripada kontradiski mental yang terbit daripada interaksi murid dengan alam sekeliling
       Murid-murid membina idea atau konsep baru berdasarkan pengetahuan yang lalu & sedia ada.
       Murid-murid memilih maklumat, membina hipotesis & membuat keputusan melalui proses mengintegrasi & menyusun pengalaman mereka ke dalam struktur mental yang sedia ada.
       Murid-murid mempunyai tanggungjawab terakhir ke atas pembelajaran mereka sendiri.

2. PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SECARA KONTEKSTUAL

PENGENALAN

       Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu masyarakat, dan alam pekerjaan.
       Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir.
       Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.
       Pengajaran-pembelajaran kontekstual menegaskan konsep pengajaran dan pembelajaran yang membolehkan guru menghubungkan kandungan mata pelajaran dengan situasi sebenar. Ini akan memotivasi murid untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan kehidupan seharian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja.
       Kaedah kontekstual, iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, murid boleh memahami isi dan konsep yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.
       Menurut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila murid memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga mereka memahami maksud dalam kerangka rujukan mereka sendiri (memori, pengalaman dan tindak balas sendiri).
       Pendekatan pembelajaran dan pengajaran seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud dalam konteksnya secara semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa seseorang itu. Ini berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan kelihatan bermakna.
       Ia menggalakkan pendidik memilih dan/atau membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan seberapa banyak pengalaman sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan. Dengan demikian, murid menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata.
       Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti “hands-on” (aktiviti) dan pemikiran, iaitu “minds-on” (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Modul yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), antara lain menegaskan pembelajaran kontekstual, murid akan melalui satu atau lebih daripada bentuk pembelajaran yang berikut;

       R : (relating/menghubung kait), iaitu murid belajar dalam konteks menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan pengalaman hidup.

       E : (experiencing/mengalami), iaitu murid belajar dalam konteks penerokaan, penemuan dan reka cipta.

       A : (applying/mengaplikasikan), iaitu murid belajar dalam konteks bagaimana pengetahuan atau informasi boleh digunakan dalam situasi lain.

       C : (cooperating/bekerjasama), iaitu murid belajar dalam konteks bekerjasama, memberi maklum balas dan berkomunikasi.

       T : (transfering/memindahkan), iaitu murid belajar dalam konteks pengetahuan sedia ada dan menggunakan atau membina daripada apa yang diketahui.

Umumnya, pembelajaran kontekstual membolehkan (kelebihan):
       (i) pengajaran dan pembelajaran lebih menarik;
       (ii) meningkatkan minat;
       (iii) pembelajaran realistik, praktikal;
       (iv) pengalaman konkrit, penglibatan langsung murid; dan
       (v) menyuburkan pemikiran kreatif.

Kelemahan pendekatan kontekstual
       (i) tahap kefahaman dan kesediaan guru
       (ii) kekangan masa - persediaan dan mencapai matlamat
       (iii) sukar mendapatkan situasi pembelajaran sebenar bagi item pengajaran dan pembelajaran;
       (iv) kawalan aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid menjadi semakin kompleks;
       (v) hanya sesuai dalam kalangan murid-murid yang mempunyai tahap pencapaian tinggi



3. PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SECARA MASTERI
               
PENGENALAN

       Pembelajaran Masteri adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari.

       Melalui pembelajaran Masteri murid diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran.
       Pembelajaran Masteri merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya.
       Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap penguasaan murid.
       Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan Penentuan Hasil Pembelajaran, dan diikuti dengan Pengajaran dan Pembelajaran.
       Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan semua murid berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut.




MODEL PEMBELAJARAN MASTERI

                                                                          

Kriteria penentuan hasil pembelajaran:

       Berdasarkan Sukatan Pelajaran
       Dalam bentuk tingkah laku yang boleh diukur
       Secara eksplisit, jelas dan terperinci
       Dalam domain kognitif, efektif dan psikomotor


Faktor penentu pengajaran dan pembelajaran:

       Kemudahan dan keupayaan murid yang berbeza
       Kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran
       Kemudahan yang sedia ada
       Masa yang diperuntukkan

Penilaian terhadap murid:

       Mengesan pencapaian murid
       Mengenalpasti murid yang cerdas, sederhana dan lemah.
       Mengesan sama ada hasil pembelajaran telah dikuasai
       Mengenalpasti sebab kelemahan murid dalam satu unit pembelajaran.
       Menentukan pengayaan dan pemulihan
       Menentukan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran


Mengadakan tindakan susulan:

       Pengayaan
       Pemulihan
       Pengukuhan

Peranan dan Tugas Guru Dalam Pembelajaran Masteri

       Peranan guru adalah sebagai pemimpin, pengajar dan fasilitator pembelajaran.
       Guru tidak perlu membuat perubahan yang besar dalam melaksanakan pembelajaran masteri kerana lengkah-langkah tersebut di atas sudah disarankan dalam KBSR dan KBSM secara tersirat.

Tugas guru dalam pelaksanaan pembelajaran masteri ialah:

       Menentukan hasil pembelajaran untuk dikuasai;
       Mengubahsuaikan kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk pembelajaran masteri;
       Melatih pelajar dalam kemahiran belajar dan kemahiran berfikir supaya mereka dapat menjadi pelajar berdikari;
       Mengenal pasti pelajar yang belum dan sudah menguasai apa yang diajar melalui ujian diagnostik;
       Menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan; dan  menilai prestasi pelajar melalui ujian sumatif.


Peranan dan Tugas Pelajar dalam Pembelajaran Masteri


       Peranan pelajar ialah sebagai seorang pelajar berdikari yang boleh merangsang diri untuk belajar dan menguasai apa yang diajar.
       Dalam pembelajaran masteri seseorang pelajar harus belajar dan bukan bertanding di antara satu sama lain dan ini dapat dilakukan melalui pembelajaran koperatif dengan rakan-rakan sebaya dalam kumpulan.


       Tugas pelajar dalam pembelajaran masteri ialah dia harus:

      - tahu akan hasil pembelajaran untuk dikuasai
      - belajar dengan tekun, tabah dan bermotivasi
      - betul-betul memahami dan menguasai apa yang diajar
      - memberitahu guru tentang perkara yang belum difahami atau dikuasai
      - membuat kerja pemulihan atau kerja pengayaan yang diberi
       Pelajar harus diberi latihan dalam kemahiran belajar dan kemahiran berfikir supaya mereka dapat menjadi pelajar berdikari. 



       Sumber
       1- Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah



No comments:

Post a Comment