Monday, 15 August 2011

PENGAPLIKASIAN PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA


PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA

INDUKTIF

Definisi

Perdekatan induktif bermula daripada spesifik kepada umum iaitu dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan menuju ke arah sesuatu generalisasi (J.M Kierzek & W. Gibson, 1960). Hal ini bermaksud seseorang guru boleh membantu pelajar menguasai konsep atau generalisasi berasaskan pemerhatian atau contoh-contoh yang diperoleh.

B. Seaton, 1982 : pembelajaran melalui induktif sepertimana pelajar mengalami satu proses mental yang mana ia memerhati peristiwa tertentu untuk memperoleh satu generalisasi. Pendekatan ini menggunakan kaedah penemuan yang melibatkan proses memerhati, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek sebelum membuat generalisasi. Cara induktif merupakan kaedah di mana guru memulakan pengajarannya dengan memberikan beberapa contoh yang khusus dan membuat kesimpulan untuk membentuk konsep.

Prinsip-prinsip pengajaran secara induktif

Contoh haruslah relevan dan sesuai untuk menerangkan sesuatu. Tambahan pula, contoh dipelbagaikan supaya generalisasi dapat dicapai dengan mudah. Dalam proses membentuk generalisasi, guru menggalakkan pelajar untuk mengemukakan contoh. Guru hendaklah membimbing pelajar untuk membuat kesimpulan. Berdasarkan contoh yang dikemukakan, guru bersama pelajar membentuk kesimpulan umum. Guru memberikan peluang kepada pelajar untuk memerhati dan menganalisis contoh agar generalisasi dapat dibuat. Guru merancang aktiviti pengajaran yang berkisar daripada contoh khusus kepda satu generalisasi atau kesimpulan umum. Langkah sedemikian akan memudahkan pelajar menguasai peraturan-peraturan umum yang dapat diperoleh daripada fakta atau contoh khusus. Pengajaran secara induktif menekankan pengajaran yang berbentuk konkrit. Secara umumnya, jenis pendekatan induktif digunakan bergantung pada hasil pembelajaran yang diinginkan. Contohnya jika guru inginkan pelajar memahami proses bagaimana sesuatu konsep atau generalisasi diperoleh, maka pendekatan induktif amat sesuai digunakan.

DEDUKTIF

Definisi

Pendekatan deduktif merupakan jenis pengajaran yang bermula daripada umum kepada spesifik dan pendekatan ini merujuk kepada satu pembelajaran di mana pelajar bermula dengan hukum yang umum dan digunakan dalam kes-kes tertentu (Brian Seaton, 1982). Pendekatan mengajar secara deduktif mengasaskan pengajaran dan pembelajaran murid kepada hukum-hukum tertentu. Pendekatan ini bermula dengan melihat hukum-hukum atau mempelajari peraturan tertentu dan dari sini pembelajaran akan diteruskan dengan menganalisis hukum-hukum melalui contoh atau mengaplikasikan peraturan yang diberikan.

Secara ringkasnya, seorang guru akan mengemukakan satu konsep/hukum/ generalisasi dengan menerangkan definisi sebelum memberikan beberapa contoh untuk memperjelas kefahaman. Pendekatan menggunakan deduktif dicirikan dengan pelajar mempelajari sesuatu berdasarkan sesuatu hukum. Pelajar perlu menaakul untuk mendapatkan fakta/contoh tertentu daripada peraturan umum. Dalam proses penaakulan, pelajar mengumpulkan fakta untuk membuktikan satu pernyataan umum itu benar atau tidak. Proses penganalisasi fakta yang dikumpulkan berlaku sebelum membentuk generalisasi. Pada peringkat proses deduktif, pelajar bersama guru akan membuat kesimpulan tentang fakta daripada yang umum kepada spesifik.

Prinsip penggunaan pengajaran deduktif

         Sesuatu masalah diperkenalkan dan ditakrifkan. Guru dan pelajar mengemukakan cara penyelesaian masalah. Dalam konteks ini, generalisasi yang dikemukakan harus dinyatakan secara eksplisit. Penyelesaian masalah mengikut langkah demi langkah. Beberapa contoh digunakan untuk menerangkan generalisasi atau peraturan. Berdasarkan contoh yang digunakan, pelajar meniru atau menghafal contoh dan membentuk contoh lain melalui latihan.  Kesimpulan dibuat berdasarkan bukti yang ada setelah memahami konsep serta contoh yang diberikan. Pelbagai aktiviti dijalankan untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Latihan menulis untuk mengesan kebolehan pelajar menguasai kemahiran. Pemahaman generalisasi atau peraturan dinilai dengan menggunakannya dalam situasi-situasi baru yang mempunyai masalah hampir serupa. Secara ringkas, pendekatan deduktif digunakan jika keutamaan pelajaran tertumpu kepada pemahaman konsep sahaja bukannya proses memperoleh konsep.

EKLEKTIK

Definisi

Pendekatan ini menggunakan dua atau lebih kaedah yang menggabungkan segala ciri yang baik daripada pendekatan tersebut dan menggunakannya dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan ini sesuai untuk kelas yang mempunyai pelajar pelbagai kebolehan. Pendekatan eklektik boleh dihasilkan dengan menggunakan induktif dan deduktif. Strategi pengajaran menggunakan pendekatan eklektik boleh dilakukan dengan dua cara iaitu:

KOMUNIKATIF

Definisi


       Pengajaran bahasa komunikatif merupakan suatu pendekatan dalam pengajaran bahasa kedua yang menekankan interaksi baik.  Nunan (1991:279) menyatakan 5 ciri khas utama  Pembelajaran Bahasa Komunikatif, iaitu :

  • Penekanan pada pembelajaran untuk berkomunikasi  melalui interaksi dalam bahasa sasaran
  • Pengenalan teks asli dalam situasi pembelajaran
  • Pemberian peluang bagi pelajar untuk fokus bukan saja pada bahasa tetapi juga pada proses belajar itu sendiri
  • Peningkatan pengalaman pribadi pelajar sendiri sebagai unsur yang memberikan sumbangan terhadap hasil belajar di kelas
  • Keupayaan menghubungkan pembelajaran bahasa di kelas dengan pengaktifan bahasa di luar kelas.

Prinsip-prinsip yang dapat dipertimbangkan dalam kegiatan pengajaran bahasa di kelas, antara lain : 

  • Kegiatan yang melibatkan komunikasi nyata mendorong hasil belajar
  • Kegiatan yang di dalamnya adalah penggunaan bahasa untuk melakukan    tugas-tugas yang bermakna meningkatkan hasil belajar
  • Bahasa yang bermakna bagi pelajar mendukung proses pembelajaran (prinsip kebermaknaan)
  • Penggunaan bahasa yang asli menentukan pencapaian terhadap keberhasilan pembelajaran bahasa kedua/asing
  • Penggunaan kerja pasangan atau kerja kelompok dalam situasi komunikatif interaktif
  • Eksplorasi berdasarkan task-based exploration, negosiasi dan pemecahan masalah

PENDEKATAN PEMBELAJARAN BAHASA

  •  Berpusatkan pelajar
  • Berpusatkan bahan/sumber
  • Pembelajaran berasaskan projek/aktiviti
  • Pembelajaran berasaskan masalah

BERPUSATKAN PELAJAR
           
             Pembelajaran berpusatkan pelajar bermaksud pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa-apa yang diajar dan bagaimana ia dipelajari. Ada sedikit kecenderungan terhadap pembelajaran eksperiential dan membuat penemuan untuk mereka. Pembelajaran secara aktif berpusatkan pelajar dan meningkatkan penglibatan pelajar (Orlich et al, 2007). Pengajaran di mana tumpuan diberikan kepada pelajar dalam melaksanakan aktiviti pengajaran. Pelajar memiliki kebebasan untuk melakukan aktiviti bersama guru dan proses pembelajaran berbentuk penerokaan idea-idea dan konsep-konsep baru. Strategi berpusatkan pelajar dapat menggalakkan pelajar bertanggungjawab dan melibatkan diri bagi membantu mereka memahami bagaimana untuk belajar. Kaedah ini boleh dilakukan dengan mewujudkan iklim bilik darjah yang dapat memperkembangkan kreativiti pelajar. Pelajar menyertai aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara aktif. Komunikasi berbentuk dua hala serta berlakunya soal jawab antara guru dengan pelajar. Pendekatan ini sesuai digunakan apabila maklumat tidak disampaikan secara berkesan berbanding dengan strategi berpusatkan guru dan matlamatnya adalah untuk memperkembangkan kemahiran pemikiran kreatif secara kritis. Pengajaran di dalam bilik darjah yang berpusatkan pelajar selalunya kurang ekspilisit.

Walaupun strategi berpusatkan pelajar kurang ekspilisit, guru tidak membiarkan pelajar untuk melakukan aktiviti tanpa pemantauan. Guru bertindak sebagai fasilitator dan bertanggungjawab terhadap pelajar. Guru juga bertindak secara autoritatif dengan mengagihkan sedikit kuasanya kepada pelajar. Kajian menunjukkan bahawa strategi berpusatkan pelajar mempunyai kelebihan untuk memperkembangkan kebolehan pelajar dan mengaplikasikan konsep sikap yang positif, mewujudkan motivasi serta memperkembangkan peribadi dalam menggalakkan kemahiran sosial kumpulan. Bilik darjah yang berpusatkan pelajar juga menunjukkan perkembangan kognitif di peringkat yang tinggi dalam kalangan pelajar. Pembelajaran menekankan kepada pembelajaran kendiri, arahan kendiri dan inkuiri-penemuan. Contoh strategi pemusatan pelajar ialah induktif, lakonan, permainan, main peranan, simulasi, perbincangan, koperatif, sumbang saran dan sebagainya.
  
BERPUSATKAN BAHAN/SUMBER

Strategi berpusatkan bahan bermaksud guru menggunakan banyak bahan seperti buku, blok binaan, bahan lukisan, peralatan saintifik, komputer, pusat sumber, pusat akses kendiri dll untuk menjalankan pengajarannya. Strategi berpusatkan bahan meliputi cara yang luas bagi pelajar yang dibimbing oleh guru hingga yang belajar secara individu dapat belajar. Penekanan diberikan kepada penggunaan bahan-bahan untuk meningkatkan P&P. Penggunaan bahan-bahan harus berasaskan kepada beberapa faktor seperti objektif pengajaran, keperluan pelajar, strategi pengajaran dan kebolehan pelajar. Kepelbagaian media akan meningkatkan proses P&P serta meningkatkan pemikiran kritikal dan kemahiran mental. Bentuk penyampaian juga akan dipelbagaikan. Komputer di dalam bilik darjah boleh digunakan untuk latihan,latih tubi dan permainan pendidikan. Contohnya dalam pengajaran Matematik, Bahasa dan pengajaran interaktif melalui CD-ROM (compact disk). Penggunaan internet juga membolehkan pelajar memfokus kepada isu-isu global. Penggunaan slaid dan transparensi turut membantu pelajar memahami sesuatu dengan lebih mudah, cepat serta tepat penanggapan.

Hal ini membolehkan pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan. Gambar, peta dan carta dapat membantu pelajar memahami dengan lebih jelas. Gambar yang besar dan berwarna-warni dapat menarik minat serta meningkatkan penumpuan pelajar dalam pelajaran. Carta pula memudahkan pemahaman pelajar dari segi mudah diingati seperti carta pai, histogram dan graf. Pembelajaran berpusatkan bahan penting bagi membantu guru memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai. Pembelajaran ini dapat menunjukkan cara untuk belajar mengikut kadar sendiri pada bila-bila masa dan di lokasi yang tidak menyulitkan mereka. Selain itu, ia juga dapat membantu pelajar yang tidak hadir.

PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK/ AKTIVITI

Guru melibatkan pelajar dalam aktiviti atau projek yang memberikan peluang kepada pelajar untuk melatih atau mengaplikasi apa-apa yang dipelajari (dan dalam proses memberikan bimbingan, strategi mempermudah tugasan atau bantuan/ scaffolding yang membolehkan mereka menyempurnakan aktiviti dengan jayanya).

Kriteria dalam pemilihan atau membentuk aktiviti :

Aktiviti yang dipilih harus berfokus kepada matlamat utama topik yang ingin diajar. Guru perlu memberikan perhatian kepada jenis aktiviti yang boleh menuju pencapaian matlamat tersebut. Matlamat utama harus berfokus kepada pemahaman kandungan pelajar dan kebolehan untuk mengaplikasikannya dalam situasi lain.

Berdassarkan matlamat pengajaran, boleh diambil kira kepelbagaian aktiviti. Contoh aktiviti boleh merupakan aktiviti yang amat diperlukan; aktiviti relevan yang berguna; aktiviti yang relevan tetapi tidak begitu berguna. Aktiviti akan menyediakan peluang untuk berinteraksi dan membuat refleksi bukannya aktiviti ,elibatkan penulisan, mengarang prosa atau melengkapkan tempat kosong.

Selain aktiviti dipilih dengan baik, aktiviti perlu dipersembahkan dan dipantau serta disusuli jika menginginkan impak yang sepenuhnya. Hal ini bermakna pelajar perlu bersedia lebih awal sebelum aktiviti. Guru perlu memberikan bimbingan dan maklum balas semasa aktiviti serta menstruktur refleksi selepas aktiviti.

Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menegaskan tujuan pembelajaran agar pelajar akan melibatkan diri dalam aktiviti. Mereka jelas tentang matlamat yang ingin dicapai. Guru boleh membimbing pelajara dengan menyempurnakan kehendak tugasan.  Apabila pelajar mula melaksanakan aktiviti dan tugasan, guru boleh memantau kemajuan dan menyediakan bantuan jika perlu. Kesemua tugasan perlu disusuli dengan refleksi atau perbincangan pada akhir tugasan. Guru akan membuat semakan dengan pelajar, memberikan maklum balas umum tentang prestasi dan mengukuhkan idea-idea utama apabila berhubung dengan matlamat kesuluruhan.

PEMBELAJARAN BERASASKAN MASALAH

Lynda Wee (2004) menyatakan bahawa PBL adalah satu pendekatan pemusatan pelajar yang merupakan pendekatan yang efektif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, menggalakan penglibatan aktif, bekerjasama, maklum balas yang cepat terhadap proses pembelajaran, pemahaman yang mendalam terhadap subjek dan merujuk kesesuaian pembelajaran pelajar melalui pembelajaran kendiri.

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) merupakan salah satu contoh yang baik untuk proses pembelajaran secara pengalaman dan pendekatan berpusatkan pelajar. Dalam kaedah PBL, pelajar akan berusaha untuk mencari maklumat dan menyelesaikan masalah dengan usaha sendiri. Proses tersebut akan menggalakan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif (KUiTTHO, 2005).


No comments:

Post a Comment