Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur memerlukan guru menguasai kaedah yang tepat. Kaedah merujuk kepada prosedur-prosedur mengajar yang wujud berdasarkan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru. Pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan adalah berlandaskan teori linguistik dan psikologi. Oleh itu, sesuatu kaedah yang digunakan tidak boleh bercanggah daripada pendekatan. Kaedah bersifat prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu.
Kaedah pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur
1- 1- Kaedah terus
2- Kaedah fonetik/ linguistik
3- Kaedah eklektik
4- Kaedah audio-lingual
5- Kaedah komunikatif
KAEDAH TERUS
Kaedah ini merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai bahasa pertama secara natural. Kaedah ini juga bermaksud belajar secara terus, iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur adalah diutamakan kerana perkataan yang diajarkan adalah perkara yang digunakan sehari-hari. Berdasarkan kaedah ini, perkataan konkrit contohnya, sudu di ajarkan dengan menunjukkan objek sudu. Perkataan abstrak contohnya, sayang pula diterangkan menggunakan perkataan yang diketahui oleh murid-murid (tunjuk contoh ibu bapa mereka). Pengajaran sesuatu topik baharu pula adalah berdasarkan sesuatu topik lain yang telah diajarkan tetapi mempunyai kaitan dengan topik baharu tersebut. Sebagai contoh, untuk mengajar ayat yang terdiri daripada kata nama + kata kerja + kata nama haruslah berdasarkan ayat yang telah diajarkan sebelumnya.
Contoh ayat :
• - Saya minum (ayat sebelumnya)
• -Saya minum susu (ayat baru)
Kaedah ini mengutamakan kemahiran bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur dan bukannya pengetahuan tentang bahasa. Kelebihan penggunaaan kaedah ini ialah, kesalahan yang berpunca daripada gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dibiasakan dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran.
KAEDAH FONETIK/ LINGUISTIK
Pengajaran berdasarkan kaedah ini dimulakan dengan latihan pendengaran kemudian diikuti dengan latihan penyebutan. Latihan penyebutan tersebut dimulakan dengan penyebutan bunyi, perkataan, frasa dan ayat-ayat. Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya digabungkan menjadi dialog dan cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa tetapi menggunakan simbol-simbol fonetik misalnya [Əma?] untuk perkataan emak. Nahu atau tatabahasa diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan dan rumus-rumus itu diajarkan. Melalui kaedah ini juga murid –murid akan menulis karangan berdasarkan apa yang didengar atau dibaca
KAEDAH EKLEKTIK
Kaedah ini mengambil ciri-ciri yang baik daripada kaedah lain dan menggabungkannya. Kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah aktif kerana gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang dimilikinya. Berdasarkan kaedah eklektik, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan mengikut susunan, iaitu bertutur, menulis, memahami dan membaca. Aspek tatabahasa diajarkan mengikut situasi, iaitu sama ada secara deduktif ataupun induktif. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan meliputi latihan mendengar dan bertutur, bacaan kuat dan bersoal jawab.
KAEDAH AUDIO –LINGUAL
Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam. Bahan-bahan yang diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana misalnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan cerita, sajak, dan sebagainya. Melalui kaedah ini, murid-murid akan mendengar (contohnya bunyi sajak daripada pita rakaman). Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya akan berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan. Melalui kaedah ini, murid-murid lebih mudah mengingat maklumat yang didengar. Ingatan murid-murid juga dapat diperkukuh dengan cara mendengar semula rakaman dan berbincang dengan rakan-rakan.
KAEDAH KOMUNIKATIF
Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan komunikatif khususnya kemahiran mendengar dan bertutur. Ketika murid-murid melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu. Proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut memerlukan guru-guru melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan sebagainya.
TEKNIK- PENGENALAN
Teknik pengajaran merupakan taktik atau cara-cara yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum ketika menyampaikan sesuatu pengajaran. Teknik dicipta dan ditentukan sebelum pelaksanaan pengajaran. Setiap teknik yang digunakan adalah selaras dengan kaedah yang digunakan dan sejajar pula dengan pendekatan yang dipegang. Teknik pengajaran juga boleh dirujuk sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya.
Teknik pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur
• Teknik soal jawab
• Teknik main peranan
• Teknik lakonan/drama
• Teknik permainan bahasa
• Teknik hafazan
• Teknik latih tubi
• Teknik perbincangan
• Teknik penyelesaian masalah
TEKNIK SOAL JAWAB
Teknik paling lama dan popular digunakan dalam pendidikan. Teknik ini berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid-murid secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan berkaitan dengan isi pelajaran, dan murid perlu memberi tindak balas yang sewajarnya.
Terdapat tiga tujuan utama teknik soal jawab :
• - untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid
• -untuk menggalakkan murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis
• -untuk mendorong murid menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar
Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran murid di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.
TEKNIK MAIN PERANAN
Main peranan bermaksud melakonkan satu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting. Teknik ini adalah satu bentuk drama yang tidak memerlukan penghafalan skrip. Murid-murid yang berlakon dalam teknik ini akan cuba untuk menjelaskan sesuatu situasi kepada murid lain. Murid-murid yang lain pula akan mempraktikkan peranan murid-murid yang berlakon tadi secara spontan. Teknik ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai (contoh : amalan berbudi bahasa). Masalah ini dikemukakan kepada murid-murid dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, dan sebagainya. Berdasarkan apa yang dibaca, dilihat, didengar itu, murid-murid akan melakukan main peranan untuk menunjukkan amalan berbudi bahasa tersebut. Murid –murid lain pula akan mempraktikkan peranan yang telah dimainkan secara spontan.
TEKNIK LAKONAN/DRAMA
Tujuan utama teknik ini adalah untuk melatih murid-murid menggunakan kemahiran bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur, unsur paralinguistik (jeda, nada, intonasi), dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaan teknik ini dapat mendorong dan merangsang murid-murid untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran yang dipelajarinya. Teknik ini dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, di samping menyuburkan sahsiah mereka.
*teknik ini berbeza dengan main peranan kerana murid berlakon berdasarkan skrip
TEKNIK PERMAINAN BAHASA
Teknik ini adalah satu-satunya cara untuk mempelajari bahasa melalui permainan. Penglibatan dalam permainan akan memberi peluang kepada murid-murid bagi memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat pengesanan (diagnostik). Teknik ini dapat merangsang kemahiran lisan, menambah kefasihan dan keyakinan, menyediakan konteks pembelajaran, serta sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Terdapat beberapa jenis permainan bahasa yang boleh digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu iaitu :
• Permainan menyampaikan pesanan
• Permainan tekalah saya
• Permainan memerhati dan mengingat
• Permainan berpasangan
• Permainan slip undian
TEKNIK HAFAZAN
Teknik ini turut dikenali sebagai teknik latih tubi informan. Pengajaran dibahagikan kepada dua bahagian iaitu demonstrasi dan latih tubi. Pembahagian ini mempunyai nisbah 2 : 1 (1 demonstrasi dan 2 latih tubi). Bahagian demonstrasi adalah pengajaran tentang tatabahasa atau nahu, sebutan dan perbendaharaan kata. Demonstrasi dilakukan oleh guru atau informan yang terdiri daripada penutur jati. Melalui bahagian latih tubi pula, informan jati atau guru akan membaca beberapa baris ayat, manakala murid-murid mengajuk sebutan tersebut sehingga ayat-ayat itu dapat dihafal. Berdasarkan teknik hafazan ini, tatabahasa atau nahu diajarkan secara induktif atau melalui ayat-ayat contoh. Selepas tatabahasa diajarkan, pelajaran diteruskan dengan memberi kuliah, mengadakan pementasan drama dan perbincangan.
TEKNIK LATIH TUBI
Teknik latih tubi ialah aktiviti pengulangan fakta-fakta yang dipelajari. Tujuan teknik ini adalah untuk mencapai penguasaan kemahiran di samping menjamin ketekalannya. Teknik ini boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Melalui teknik ini, murid-murid akan mengalami proses mendengar, melihat dan memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang menggunakan perkataan itu. Teknik ini memberi penekanan kepada lima aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :
Aspek kebolehan menggunakan bahasa | Huraian |
• Sebutan (accent) |
|
• Tatabahasa (grammar) |
|
• Perbendaharaan kata (vocabulary) |
|
|
|
• Kefahaman (comprehension) |
|
TEKNIK PERBINCANGAN
Teknik ini didefinisikan sebagai suatu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya adalah untuk melatih murid-murid meluahkan perasaan dan pendapat dengan bernas. Teknik ini adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan yang dilakukan oleh murid-murid dengan penyeliaan dan kawalan seorang guru. Terdapat beberapa langkah dalam menjalankan teknik ini :
1- Guru menarik perhatian murid-murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
2- Guru membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan dan melantik seorang ketua.
3- Guru memberi tugas kepada setiap kumpulan. Mereka perlu berbincang sesama mereka dan semasa perbincangan berjalan, guru sentiasa memantau perbincangan tersebut supaya terarah.
4- Guru meminta laporan daripada setiap kumpulan.
TEKNIK PENYELESAIAN MASALAH
Teknik adalah aktiviti yang melibatkan masalah berbentuk perkataan, teka teki, silang kata dan kuiz. Teknik ini memerlukan murid-murid menggunakan kemahiran, prinsip atau teori yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan. Teknik ini melibatkan beberapa aktiviti seperti membimbing murid-murid memahami dan mengenal pasti ciri-ciri masalah, mengingat semula pengalaman lalu, memilih strategi yang sesuai, dan menggunakan kemahiran lisan untuk menjalankan aktiviti penyelesaian. Terdapat beberapa prinsip dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui teknik ini :
1- Sesuatu masalah harus diberikan sebaik sahaja murid-murid memperolehi ilmu pengetahuanatau menguasai kemahiran yang berkaitan.
2- Soalan bermasalah harus dibina berdasarkan kepada kebolehan dan pengetahuan lepas murid-murid serta sesuai dengan pengalaman mereka.
3- Sebelum proses penyelesaian masalah dimulakan, guru perlu membimbing murid-murid memahami dan mengenal pasti masalah itu.
4- Guru perlu berbincang dengan murid tentang pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah.
5- Guru perlu mengelakkan daripada memberi tunjuk cara untuk menyelesaikan masalah. Guru hanya boleh memberi sedikit bimbingan kepada murid yang berfikir agak lambat secara individu.
salam.. boleh minta sumber rujukan penulisan ini... terima kasih..
ReplyDeletenak juga sumber penulisan nota ni..jzkk..=)
ReplyDeletesalam.. boleh tau tak ini guna rujukan apa? pm saya. terima kasih
ReplyDeleteSalam. Tahniah kerana dapat menghasilkan coretan yang bernilai ini. Terima kasih atas ilmu ini, memberi kepada yang tiada, menambah kepada yang ada, menerang kepada yang dah pudar. Semoga menjadi seorang yang gemilang pada masa depan.
ReplyDeleteassalamualaikum ..ni gne rujukan buku pe ea?
ReplyDeleteperkongsian yang sagt bagus,. rujukan dari buku mana ya?
ReplyDelete